Isnin, 7 Oktober 2013

Muslimat Kedah..menyanjung Ustaz Azizan...


OLEH : SARINA ISMAIL




ALOR SETAR - Dia ibarat ayah, malah setiap butiran nasihatnya amat berharga walau pun kadang kala terselit nada marah, namun ibarat sayangnya seorang ayah kepada anaknya, marah itu dianggap ' marah sayang'.

Muslimat Kedah khususnya amat terasa dengan pemergiaan Al-Marhum di sisi pencinta, kekasihnya. Sepanjang hayatnya, dia amat-amat menghargai muslimat. Baginya muslimat ibarat jantung PAS Kedah kerana muslimat merupakan jentera piliharaya terbaik di samping tidak pernah meminta apa-apa habuan walau pun Pakatan Rakyat meraih kejayaan menawan Kedah pada PRU ke 12 yang lalu.

Al-Marhum Ustaz Azizan Abdul Razak, tidak pernah menghampakan jemputan Dewan Muslimat PAS Negeri Kedah (DMPNK) apabila inginkan beliau menyampaikan ucaptama atau pun merasmikan sesuatu program. Beliau akan berusaha datang, walau pun satu ketika dahulu beliau sedang dirawat dihospital, namun sempat mohon keluar sekejap semata-mata memenuhi hajat muslimat.

Begitu juga, Al-Marhum acap kali menyumbang seekor lembu apabila muslimat mengadakan program kerana beliau amat teruja dengan kehadiran yang mencecah hampir empat ribu orang apabila setiap kali program dibuat. Beliau menegur dan melahirkan rasa tidak bersetuju apabila suatu ketika, DMPNK mengarahkan muslimat kawasan membawa makanan sendiri sebagai langkah menjimat waktu dan wang.

" Lekeh sangat masa kita menang, kita suruh orang bawa makanan sendiri. Tak apa, lain kali bila buat program, saya bagi lembu. Masak nasi, jamu depa( mereka) makan.
Jangan suruh bawa makanan sendiri. Dah la susah payah mai program, makanan pun kena masak dan bawa sendiri," tegur beliau suatu ketika dulu.


Baginya muslimat seperti anak-anaknya, teguran baginya bererti sayang kerana beliau faham sumbangan muslimat pada kemenangan Kedah dahulu bukanlah sedikit.

Ketika Al-Marhum diuji Allah dengan sedikit kemelut dalaman dahulu, DMPNK sebulat suarat berdiri teguh dibelakangnya dan berusaha mempertahankannya dari serangan-
serangan yang tidak berasas serta memberi sokongan pada kepadanya.

Dalam apa jua hal, muslimat tidak pernah dilupakan. Janjinya pada muslimat, akan dikotakan samada cepat atau lambat. Pernah dahulu, menjelang PRU ke-12, secara tidak
sengaja beliau berjanji akan menaja AJK DMPNK ke Medan, Indonesia sekiranya Pakatan Rakyat menang dalam PRU berkenaan. Walau pun asalnya janjinya bergurau, namun beliau cuba juga menepati janjinya dengan menggunakan duit poketnya sendiri.

" Ustaz tak pernah berkira dengan muslimat. Kalau kita (muslimat) minta sumbangan untuk program, beliau akan luluskan. Ustaz jarang sekali menghampakan permintaan
muslimat," luah ketua DMPNK, YB Dato' Ustazah Siti Ashah Ghazali.


Baginya, walau pun Al-Marhum nampak macam tegas tapi ketegasan itu bertujuan agar matlamat sesuautu perancangan itu mencapai matlamatnya. Beliau cukup terperinci dalam segala hal, lebih-lebih lagi yang melibatkan strategi piliharaya.

" Bagi saya, marah ni perkara biasa. Memang beliau akan marah kalau ada yang tak kena di matanya tapi ianya bukanlah bermakna beliau seorang diktator atau tidak mahu pendengar pandangan orang lain, cuma kita kena faham masa dan waktu yang sesuai.

" Kita kena bersangka baik. Dia bukan sahaja fikir satu perkara sahaja tapi sebagai Menteri Besar dulu, beliau kena fikir hal rakyat satu negeri Kedah. Tanggung jawabnya berat, jadi kalau sikit-sikit tu, tak perlulah ambil hati," kata Ashah.


Al-Marhum boleh dikatakan mengenali semua AJK DMPNK dan beliau kerap akan memulakan teguran dahulu apabila bertembung dengan mereka. Walau pun ketika menjalani
pembedahan mata, beliau masih dapat mengenali AJK DMPNK hanya dengan pengenalan suara. Perkataan ' hampa" atau " hang' yang selalu beliau tujukan kepada AJK DMPNK,
menunjukkan betapa rapatnya muslimat dihatinya dan dengan panggilan seumpama itu muslimat merasakan eratnya hubungan ustaz dengan mereka.

Pengikhtirafan beliau kepada muslimat, sangatlah tinggi, sehinggakan beliau melantik YB Dato' Ustazah Siti Ashah sebagai salah seorang exco kerajaan negeri Kedah pada
kemenangan lalu walau pun pada dasarnya beliau boleh melantik orang lain yang lebih berpengalaman menjadi wakil rakyat sebelum itu.

Muslimat merasakan, pemergiaan beliau seperti hilangnya sebutir mutiara yang sangat berharga. Kehilanganya bukan sahaja dirasakan oleh muslimat, malah rakyat Kedah amnya tidak mengira lapisan umur dan batasan agama serta bangsa. Perginya membawa ilmu di dadanya yang begitu berharga bersemadi bersamanya.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkannya bersama roh-roh para syudaha pembela agama. Beliau tetap dalam ingatan muslimat kerana perginya tiada ganti dan sukar dicari ganti.




Sudah ditakdirkan kau pergi dulu......
Disaat kau masih diperlukan.....
Tuhan lebih menyayangi dirimu.....
Ku pasrah diatas kehendak yang Esa.....

Ya Allah...tempatnya..ditempat yang mulia
Tempat yang dikau...janjikan nikmat untuk hambaMu...
Pemimpinku...akan kuteruskan perjuangan ini....
Walauku tahu kau tiada disisi.....

0 ulasan:

Catat Ulasan

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More