Kota Sarang Semut : 21 Okt 2011 – Jumaat
Kira-kira tiga ribu muslimat dari seluruh kawasan di Negeri Kedah hadir meraikan Majlis Sambutan 60 Tahun PAS Peringkat Negeri Kedah yang berlangsung di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut di sini.
Di majlis tersebut mantan-mantan pimpinan Dewan Muslimat peringkat negeri dan kawasan-kawasan diraikan.
Dalam ucapan aluan yang disampaikan oleh YB Ustazah Siti Ashah Ghazali, beliau mengajak semua muslimat mengenang kembali jasa dan pengorbanan pejuang-pejuang terdahulu yang sanggup bersusah payah menemui masyarakat menyampaikan risalah perjuangan Islam walau pun ada kalanya dihalau dan dilempar dengan kata-kata kesat.
“Generasi muda khususnya perlu mengambil contoh dan iktibar atas kesungguhan pejuang dahulu. Atas kesungguhan merekalah, kita sekarang masih kenal PAS,” sambungnya.
YB Siti Ashah yang juga merupakan Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Kedah, mengimbau kembali kehebatan muslimat semasa berlakunya tragedi di Memali. Muslimat sanggup bersama-sama muslimin keluar rumah mempertahankan As-Syahid Ust Ibrahim Libya dari ditangkap oleh pihak berkuasa. Semangat keberanian muslimat diterjemahkan hingga sekarang, muslimat sanggup bersama-sama menyertai Perhimpunan Bersih dan ramai di kalangan muslimat Kedah yang ditangkap oleh pihak polis.
“Saya mulanya agak cemas bila mengetahui ramai muslimat Kedah kena tangkap. Risau juga, bimbang mereka diapa-apakan. Tapi selepas 2-3 jam saya dapat tahu, mereka yang ditangkap selamat dan dilayan dengan baik.
“Muslimat ini bukan sahaja berani malah merupakan jentera pilihanraya yang paling baik. Ini bukan saya kata tetapi pengakuan dari Tuan Guru Presiden sendiri semasa ucapan penutup sempena Sambutan 60 tahun PAS Peringkat Pusat di Kepala Batas tempohari,” jelasnya lagi.
Pengorbanan muslimat dalam peranannya mempastikan kesenambungan perjuangan PAS terus dirasai dan dikecapi hingga sekarang sangat tinggi dan tiada ternilai. Walau pun ketika dahulu, masyarakat memandang serong kepada PAS, namun muslimat dahulu sanggup menongkah dan mengharungi pahit getir, onak dan duri demi perjuangan yang dicintai.
YB Ustazah Siti Ashah Ghazali turut juga menyampaikan cenderahati khas untuk semua mantan-mantan pimpinan Muslimat Kedah.
Antara pengisian menarik sempena program tersebut termasuklah, Forum..Nostaljia Muslimat, Dulu dan Sekarang dan pertandingan nasyid antara sekolah-sekolah HESA. Program tersebut dirasmikan oleh Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Kedah, Ustaz Musaddaq Ahmad.
sumbangan banjir
9 tahun yang lalu
0 ulasan:
Catat Ulasan